KUALA LUMPUR: Terdapat peningkatan permintaan terhadap buku-buku ilmiah selain novel-novel yang biasa menjadi pilihan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 tahun ini.
Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron berkata, perkembangan itu merupakan petanda positif, apatah lagi ramai dalam kalangan pembeli adalah golongan muda.
“Seperti biasa, remaja memang sukakan novel dan akan mencari novel apabila datang ke pesta buku. Tetapi sebenarnya masih ramai juga dalam kalangan belia yang mencari dan gemarkan buku-buku ilmiah.
“Kebanyakan mereka berada dalam fasa matang dan mahu mencari bahan bacaan yang boleh meningkatkan tahap pemikiran.
“Contohnya sebuah buku terjemahan berjudul Muhammad. Buku ini merupakan sebuah bahan bacaan aras tinggi tetapi berjaya dijual sebanyak 80,000 naskah.
“Malah gerai-gerai jualan bahan bacaan ilmiah seperti gerai Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) juga menjadi tumpuan pelanggan,” katanya ketika ditemui di PBAKL 2024, pada Ahad.
Tambahnya, pendapat yang mengatakan golongan muda lebih meminati gajet dan media sosial dan tidak lagi berminat dengan buku, ternyata tidak benar kerana rata-rata pengunjung adalah golongan muda.
“Kadang-kadang kita beri pendapat tapi kita tidak mempunyai fakta. Dalam PBAKL, bukan sahaja pengunjung dalam kalangan anak muda, malah peserta pameran seperti penerbit, juga terdiri daripada anak muda.
“Saya melihat ini satu gerakan yang menunjukkan industri buku mempunyai potensi untuk terus berkembang,” ujarnya.
Kata Mohd Khair, pihaknya mensasarkan 1.6 juta pengunjung tahun ini, selepas tahun lalu berjaya merekod kehadiran sebanyak 1.3 juta.
“Hari kedua pameran (Sabtu), kita pecah rekod dengan kehadiran 209,000 pengunjung. Jadi kita positif dengan sasaran itu,” katanya lagi.
Bagi seorang peserta pameran, Saadiah Ali, gerainya turut menerima peningkatan permintaan buku-buku ilmiah dalam kalangan anak muda.
“Tahun ini ramai juga yang mencari buku-buku tentang al-Quran, tafsir, buku agama dan buku panduan fiqh.
“Di gerai kami, antara yang menjadi pilihan orang ramai adalah buku-buku karya Hamka.
“Paling mengujakan ialah kami juga melihat peningkatan pengunjung dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah,” katanya yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif JT Publishing.
Bagi wakil Sri Ayu Distributors Sdn Bhd, Sharifah Nur Fatihah Shaikh Baharum, gerai mereka turut mencatat peningkatan pengunjung, malah ramai yang datang dari luar Lembah Klang.
“Sepanjang tiga hari sambutan memang sangat-sangat baik. Kami terima ramai pelanggan dari luar seperti Pahang dan Kelantan.
“Di pihak kami, memang kami kagum dengan promosi daripada pihak penganjur yang berjaya menarik begitu ramai pengunjung tahun ini,” katanya.
PBAKL 2024 berlangsung sehingga 2 Jun depan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Oleh Madihah Abdullah, Sumber Astro Awani – https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pbakl-2024-bukti-anak-muda-masih-cintakan-buku